Sebab Kesepuluh Perlunya Laman Web

Membeli-belah secara online trend masa kini

MEMANDU ke pusat beli-belah bukan lagi satu pilihan kepada sebilangan masyarakat di negara ini. Rata-rata akan berfikir dua kali untuk keluar rumah walaupun ingin mendapatkan keperluan mustahak seperti tepung dan beras.

Ini kerana kemudahan membeli-belah secara online jauh lebih mudah dan tidak membebankan. Ditambah pula ia lebih menjimatkan masa serta kos, keperluan membeli-belah secara online mampu menyelesaikan masalah berbelanja pada masa kini.

Tabiat membeli-belah secara online sudah menjadi trend dalam kalangann masyarakat Malaysia. Ia semakin berkembang dengan pantas menjelang tahun 2018.

Keperluan

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel, trend berbelanja secara online sudah menjadi amalan rakyat Malaysia apabila mereka menjadikan amalan itu sebagai rutin mingguan, bulanan atau tahunan dalam membeli barangan yang diingini.

“Misalnya, ramai masyarakat di negara ini membeli keperluan dapur bulanan secara online. Misalnya, di Lazada sendiri, kami berfungsi seperti pasar raya kepada pelanggan.

“Walaupun tiada kedai fizikal, pelanggan masih mahu membelinya disebabkan kualiti yang tinggi, harga yang murah dan perkhidmatan yang cekap dalam setiap pembelian,” katanya pada perbincangan meja kopi mengenai Transformasi Membeli-Belah Secara Online 2018 di The Forum, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim.

Ressel turut menganggarkan pada tahun 2018, lebih 2 juta pelanggan baharu yang akan berbelanja secara online. Ia sekali gus meningkatkan 30 peratus kekerapan membeli-belah secara online secara bulanan.

Tahun 2017 memperlihatkan fenomena dalam industri e-dagang melonjak naik lebih-lebih lagi apabila permintaan bagi perkhidmatan kurier oleh Pos Malaysia turut meningkat.

Ketua Pegawai Komersial Pos Malaysia, Nor Azizan Tarja@Tarjo berkata, pihaknya melihat trend perniagaan secara online pada tahun 2018 bakal berkembang pesat sehingga membuatkan ia mengubah cara berbelanja rakyat di negara ini.

Katanya, jika tahun-tahun sebelum ini, 75 peratus penghantaran barangan e-dagang adalah dariKuala Lumpur ke negeri-negeri luar seperti Pulau Pinang, Johor dan Terengganu namun ia semakin berubah kebelakangan ini apabila kebanyakan penghantaran berlaku di kawasan-kawasan luar bandar.

“Keadaan ini menyebabkan Pos Malaysia perlu mengambil pelbagai inisiatif seperti menyewa penerbangan kapal kargo tambahan ke Sabah dan Sarawak serta mewujudkan lebih banyak kaunter pandu laju.

Akaun FB

“Kini, tilam pun pelanggan akan membelinya secara online,” katanya sambil memaklumkan setakat ini Pos Malaysia mempunyai 12 kaunter pandu laju dan merancang untuk menambah 20 lagi kaunter berkenaan.

Dalam pada itu, Kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa melaporkan, populariti membeli-belah secara online rakyat Malaysia telah meningkat sembilan peratus berbanding tahun lalu dengan 76 peratus rakyat Malaysia menyatakan mereka membeli-belah secara online sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Kajian itu juga menunjukkan kategori teratas untuk belian secara online adalah pembayaran bil 58 peratus, fesyen 52 peratus dan tempahan perjalanan 52 peratus.

Pengarah Negara Facebook Malaysia, Nicole Tan pula memaklumkan, rakyat Malaysia sekurang-kurangnya mempunyai dua akaun Facebook semata-mata ingin memudahkan mereka mengendalikan urusan jual beli.

“Sama ada anda pelanggan atau penjual, kebanyakannya mesti mempunyai dua akaun Facebook.

“Jika pada awalnya, Facebook adalah medium untuk masyarakat berkomunikasi antara satu sama lain, kini telah berubah menjadi medan untuk pelanggan dan pembeli membincangkan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan,” ujarnya.

Sumber:
http://www.kosmo.com.my/k2/rencana-utama/membeli-belah-secara-online-trend-masa-kini-1.576266