Dengan Syiling 50 Sen

Semuanya mahal sekarang. Tiada yang murah seperti dulu. Kuih seketul sekarang ini berharga 50 sen. Jika nak makan nasi, 50 sen nasi kosong pun tak dapat,

50 sen seperti tiada maknanya bagi kebanyakan orang tetapi……..

Saya bertanya kepada seorang pelajar yang baru keluar kelas pada waktu rehat. Dia mundar mandir di kakilima blok kelasnya menuju ke ruang legar di mana terdapat beberapa orang kawannya sedang berbual.

Seorang lagi pelajar tiba-tiba datang dari belakang saya. Saya fikir ia menuju ke bilik guru. Rupanya tidak.

Pelajar ini berjalan beriringan dengan saya melintasi mesin air ( budak sekarang panggil Air Gedegang) kerana apabila dimasukkan syiling, air tin atau botol yang jatuh itu bunyi gedegang.

Pelajar ini biasa sangat dengan saya. Budak baik. Hari ini pakaian baju melayunya lengkap, kemas bersongkok dan samping.

“Cikgu, belanja la 50 sen cikgu..!!!. katanya dengan penuh harapan sambil tersenyum. “Boleh la cikgu, 50 sen saja.

“Kamu nak buat apa 50 sen tu?

“Belanja air la cikgu. Saya ada 50 sen saja, cikgu belanja 50 sen dapat lah beli air mineral ni harganya seringgit.

“Eh, kamu datang sekolah bawa 50 sen je ke?

“Tak lah cikgu, bawa seringgit tapi tadi kan baca Yassin, lepas tu saya derma kat tabung kebajikan 50 sen cikgu, dapat pahala mak saya kata”

Wah, terkedu saya.50 sen menjadi derma ikhlas hari Jumaat. Lumayan pahalanya, berkat hidupnya, pandai ibunya mendidik anak.

” Habis tu, kamu tak makan lah ni”

“Tak pa cikgu, Hari jumaat kan balik pukul 12, nanti saya makan kat rumah”

Seorang lagi pelajar yang berselisih dengan saya tadi juga menyapa.

“Saya pun sedekah tadi cikgu, 50 sen. ada baki 50 sen lagi, tak cukup nak beli air gedegang ni”

“Apa kata cikgu belanja kami sorang 50 sen. Dapat 2 botol air mineral ni cikgu. Hilang dahaga, cikgu pun dapat pahala”. sambil tersipu dan tersengih-sengih seperti selalu mereka bergurau dengan saya.

“Ok, awak masukkan 50 sen dlm mesin tu, dan awak pula masukkan 50 sen. Dapat 1 botol”. Tanpa membantah, mereka masukkan dan gedegang sebotol.

“Saya tambah belanja kamu 50 sen dan kamu 50 sen. Gedegang sebotol lagi”

“Terima kasih cikgu, terima kasih cikgu. Kami doakan cikgu murah rezeki, panjang umur sebab belanja kami 50 sen. Semoga cikgu jadi kaya dan boleh belanja kami lagi”.

Astaqfirullah hil azim. Alhamdulillah dengan 50 sen mereka mendapat pahala berganda dan mungkin Allah tambahkan keberkatan mereka kerana sedekah hari jumaat.

Kerana 50 sen juga saya didoakan panjang umur, murah rezeki dan menjadi kaya.

Siapa kata 50 sen tidak boleh menjadi kaya…!!!!